Sunday, November 7, 2010

Perjuangan Yang Tidak Selari...

Assalamualaikum...

     Buat rakan-rakan pembaca... semoga hari ini membawa sinar baru dalam hidup kita. Alhamdulillah, penulis sendiri walaupun kepenatan namun dengan semangat perjuangan yang ada kepenatan itu tidak menjadi suatu halangan untuk bergerak tangkas.
     Berbekalkan semangat dan langkah yang lebih kemas sekembalinya dari Seminar Pemantapan Buah Pukulan Melaka di Gelanggang Pusat Setiabakti,Taman Permata,Kuala Lumpur memberikan penulis suatu harapan baru untuk berjuang demi kerana agama,bangsa dan negara.
     Selain ilmu yang diberikan penulis berasa bangga kerana dapat mengenali para jurulatih yang setia bersama Guru Dahlan bin Karim meneruskan usaha untuk mengembangkan sayap Setiabakti ke seluruh negara. Usaha yang dilakukan oleh Cikgu Hamidi amatlah mulia dan harus dipandang tinggi. Para jurulatih yang telah memberikan tunjukajar kepada penulis memberikan kesedaran betapa penulis sememangnya masih cetek keilmuan di dalam lapangan ini.
     Seminar Pemantapan ini telah menghimpunkan para jurulatih dari setiap negeri. Walaupun ada yang tidak dapat hadir namun mereka ini telah membuktikan usaha yang jitu telah membuahkan hasil yang penuh gemilang. Penulis berhajat untuk hadir lagi sekiranya ada ruang masa dan kemampuan.
     Penulis juga menyeru kepada para pembaca yang berminat untuk mengenali Setiabakti agar mengunjungi gelanggang pusat di Taman Permata,Kuala Lumpur. Sesungguhnya Guru Dahlan bin Karim selaku pengasas perguruan amat mudah untuk di ajak berbicara malah walau dalam keuzuran beliau masih sanggup menggagahkan diri bermandi peluh di dalam gelanggang.
     Dalam jadual yang padat dengan taklimat dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh Cikgu Hamidi, Guru Dahlan masih sempat mencelah untuk menunjukkan teknik-teknik yang berkesan. Masa rehat yang ada digunakan sepenuhnya oleh Guru Dahlan untuk membangkitkan semangat jatidiri Melayu. Penuh semangat dan membara jiwa guru yang kental ini menyampaikan amanatnya.

     Penulis terfikir bila Guru Dahlan menyebut tentang perjuangan bangsa. Dalam kelompok besar pejuang-pejuang parti Melayu berapa keratkah yang ada sebagai pejuang bangsa yang tulin? Ramai yang boleh bertempik di atas pentas ceramah melaungkan semangat patriotisme tetapi berapa ramaikah yang boleh mengatur langkah di medan perang seandainya keadaan memerlukan.
     Amatlah dikhuatiri bumi yang kita pijak ini akan menjadi milik orang lain. Apalah gunanya kita menang sorak tetapi kampung tergadai. Melaungkan diri sebagai pejuang bangsa tetapi langkah sebagai anak Melayu sumbang di dalam gelanggang.
   Penulis menyeru kepada para pendukung yang memperjuangkan bangsa Melayu agar kita mempersiapkan diri dengan keilmuan mempertahankan diri. Di dalamnya terlalu banyak ruang yang ada untuk kita memperkasakan diri serta generasi baru dengan ilmu rohani dan jasmani.
     Yakin dan percayalah bahawa Allah Maha Mengetahui akan keluhuran hati kita memperjuangkan agama,bangsa dan negara. Biarpun kita insan biasa yang tidak punya kekayaan dan kedudukan namun peluh yang menitik ke bumi menyampaikan gerak langkah pendekar adalah lebih murni usahanya. Persiapkanlah diri kita. Tuntutlah ilmu kependekaran bangsa Melayu ini. 'Tanah Melayu' ini harus kita pertahankan sampai bila-bila kerana tanah bertuah ini adalah amanah buat kita. 
     Kepada Guru Dahlan,Cikgu Hamidi,Cikgu Heryzal,Cikgu Omar,Cikgu Hassan,Cikgu Razlan, adinda Fairus yang dikasihi serta para jurulatih di gelanggang pusat, jasa kalian tidak akan dilupakan. Ruang masa yang ada begitu suntuk namun di masa yang akan datang penulis akan kembali menjejakkan kaki di gelanggang. Begitu juga rakan-rakan jurulatih di setiap negeri teruskan perjuangan memantapkan Setiabakti semoga impian Guru Dahlan untuk mengembangkannya di seluruh tanahair akan terlaksana jua.
     Buat rakan-rakan yang berdiri di dalam parti Melayu sebagai pejuang bangsa, renungkanlah dan fikirkan sejenak. Apakah selari perjuangan bangsa kita ini dalam kita menjerit sebagai pejuang tetapi kita sumbang mengatur langkah sebagai pendekar Melayu... selarikah perjuangan ini...?


   Salam Kemaafan Salam Perjuangan...
  

Wednesday, October 6, 2010

Meniti Sebuah Perjuangan

Salam Perjuangan...

Hari demi hari yang dilalui apakah masa yang ada telah dipenuhi dengan perkara yang mendatangkan faedah? Bagi yang mengambil berat akan kepentingan masa takkan biarkan ia berlalu begitu saja. Masa takkan menunggu kita. 

Bagi yang dahagakan ilmu tentunya waktu itu dipenuhi dengan mencari ilmu. Salah satunya seni silat Melayu. Seni silat Melayu ini tidak sukar untuk ditemui. Di mana saja ada guru dan gelanggangnya. Buat rakan-rakan pembaca, penuhi gelanggang yang ada kerana ilmu ini jika tidak dicari ia tidak akan datang sendiri. Penulis sendiri sampai ke Singapura menemui Guru Haji Mawardi bin Ifi, Guru Utama Seni Silat Seligi Tunggal. Namun beliau telah kembali ke rahmatullah. Hinggalah Allah menemukan penulis dengan Guru Dahlan Karim di Kuala Lumpur.

Pada awalnya penulis hanya mencari untuk diri sendiri. Namun apabila Guru Dahlan membuka peluang untuk menjadi jurulatih, penulis dengan rasa terharu menyahut pelawaannya. Alhamdulillah penulis peroleh restu dari Guru Dahlan untuk membawa Setiabakti ke Terengganu.

Buat rakan-rakan yang sebangsa dan seagama. Hayatilah sebuah perjuangan yang telah dimulakan oleh datuk nenek moyang kita ini. Kitalah penyambung perjuangan dan kitalah pewarisnya. Pada rakan-rakan dan ahli keluarga Setiabakti walau di mana saja berada, penulis merasa bangga dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hasrat 'Pakcik' yang murni itu semakin direstui Allah.

Teruskan perjuangan. Makmurkan gelanggang. Setiabakti terus diperkembangkan.